JIKA MAHU HEBAT IKHLASKAN DIRIMU UNTUK MENUNTUT ILMU

Malaikat terpaksa akur dengan perintah Allah untuk menciptakan khalifah di atas muka bumi ini  kerana  mengakui kehebatan ilmu milik manusia. Perbahasan antara Allah dan Malaikat mengenai kejadian Adam akhirnya diperakui malaikat betapa manusia sebenarnya begitu mulia di sisi Allah.

Allah telah mengajar nabi Adam nama-nama benda seluruhnya kemudian mengemukakan kepada para malaikat perkara yang sama yang diajar oleh Allah kepada nabi Adam, tetapi ternyata malaikat tidak mengetahui kesemua perkara tersebut.

Sejarah kejadian manusia dan perbahasan antara Allah dan Malaikat telah tercatat dalam surah Al-baqarah dimana Allah telah menceritakan kepada  kita bahawa manusia adalah makluk yang diciptakan dengan akal yang mampu membezakan perkara yang baik dan buruk. Manusia  dikhuatiri malaikat bakal menumpahkan darah dan membuat kerosakkan di atas muka bumi sebagaimana yang berlaku pada zaman ini . Peperangan, pembunuhan dan pelbagai jenayah besar telah menjadi lumrah kehidupan manusia di akhir zaman . Namun Allah lebih mengetahui rahsia diciptakan manusia  walaupun hakikatnya perkara yang dibimbangi malaikat sebelum ini benar-benar berlaku.

Rahsia keagungan manusia bukanlah dlihat dengan kerakusan jenayah yang dilakukan, kekayaan , pangkat, kedudukan atau sebaliknya. Firaun di zaman nabi Musa begitu ego dan sombong kepada Allah sehingga mengutuskan angkatan perang yang besar untuk membunuh utusan Allah dan umat islam. Allah telah menganugerahkan Firaun satu ketika dahulu nikmat kesihatan yang berpanjangan ,kekayaan dan kedudukan yang tinggi sehingga dia merasakan dirinya adalah tuhan di dunia. Tetapi Firaun lupa kepada satu perkara yang membezakan dirinya daripada menjadi manusia yang mulia atau manusia yang hina. Perkara inilah yang membuatkan Allah tetap meneruskan kejadian manusia walaupun pada dasarnya manusia ini lebih sukakan kerosakkan. Apakah perkara yang dimaksudkan? Ironinya ilmu  sememangnya mempunyai darjat yang tinggi disisi Allah s.w.t

Manusia di akhir zaman kini mula lupakan fitrah kejadian mereka yang membuatkan mereka semakin angkuh dan sombong terhadap perintah Allah. Lihatlah keadaan dunia yang semakin pincang dan sakit dengan penduduknya yang sebati dengan kehidupan yang dimurkai Allah. Mengapa semuanya berlaku? Sedangkan umat akhir zaman ialah umat nabi Muhammad yang mempunyai kedudukan yang istimewa berbanding umat nabi lain.

Meskipun Allah menganugerahkan beberapa keistimewaan kepada kita antaranya ialah, malam lailatul qadar, solat yang dipendekkan hanya kepada 5 waktu sehari, tidak ditimpa bala secara terus-menerus sebagaimana bala yang menimpa umat nabi terdahulu jika berbuat dosa, diturunkan Al-quran sebagai garis panduan kehidupan, mendapat syafaat nabi Muhammad di akhirat kelak dan beberapa kelebihan lain yang dianugerahkan Allah tetapi sayang manusia tidak menjadikan kesemua perkara tersebut sebagai batu loncatan untuk menjadi hamba yang tebaik kepada agama sendiri kerana mereka jahil dengan ilmu. Manusia tidak melaksanakan solat kerana mereka tiada ilmu, manusia melakukan maksiat kerana mereka tidak mengetahui ilmu, manusia melakukan pelbagai jenayah juga kerana jiwa mereka kosong tanpa ilmu untuk diamalkan . Kesimpulannya manusia mengingkari perintah Allah kerana  jiwa dan akal mereka digelapkan dengan kejahilan yang membawa mereka kepada kemurkaan Allah S.W.T

Percayalah! masyarakat islam sekarang menjadi mundur dan dipijak-pijak oleh bangsa agama lain kerana kita tidak mengangkat ilmu sebagai perkara yang boleh memuliakan kita di sisi Allah. Jika dilihat ilmu sekarang menjadi rebutan oleh ramai manusia namun persoalannya adakah ilmu yang mereka kejarkan itu diamalkan? atau hanya menjadi alat untuk dibangga-bangakan? Persoalan itulah hakikatnya mengapa kita mundur dan lemah .Tidak kiralah ilmu apa  yang kita tuntut, Matematik, Perundangan,  Kedoktoran atau Sains sekalipun jika tidak diniat kepada perkara yang betul maka sia-sialah ilmu yang dipelajari selama ini. Kemungkinan besar jika ilmu yang dituntut tidak diniat kepada Allah maka lahirlah manusia yang bangga dan riak dengan ilmu yang dipelajari , menyalahgunakan ilmu yang ada atau lebih parah ilmu yang dipelajari selama ini lupa dan hilang dari fikiran.

Jika kita lihat sejarah  islam yang pernah mengusai 2/3 dunia ,kejayaan umat terdahulu adalah kerana mereka tidak pisahkan perintah Allah dan ilmu. Peperangan khandak di antara islam dan pihak musuh membuktikan umat islam mempunyai strategi yang begitu hebat kerana disokong dengan ilmu yang ada pada mereka disamping mentaati perintah Allah. Begitu juga dengan pemimpin tentera islam yang lain seperti Sultan Muhammad Al-Fateh, Sultan Solahuddin Al-Ayubi, Saifuddin Qutuz dan banyak lagi yang membuktikan mereka menguasai ilmu bahkan taat kepada perintah Allah. Mereka juga bukan hanya handal dimedan perang malah menguasai ilmu sepenuhnya dan hasilnya lihatlah separuh daripada dunia telah berjaya ditawan islam . Ilmuan islam yang lahir pada era kegemilangan islam khususnya pada zaman Abassiah, Andalus, Cordova dan Baghdad telah berjaya membuka mata dunia kepada kehebatan  islam yang mana ilmu adalah tunjang kekuatan sebenar kejayaan umat islam di zaman lampau yang diiringi dengan ketaatan kepada Allah dan Rasul serta keberanian dalam menuntut mati syahid.

Pada zaman ini ,dunia islam masih sepi dan suram tanpa khabar berita kemunculan semula pemimpin seperti saidina Umar Al-Khatab, Khalid Al-walid ,Sultan Muhammad Al-Fateh dan lain-lain. Sebagai Umat islam juga kita tidak harus tunggu dan lihat bilakah dunia akan melahirkan semula pemimpin yang  sehebat pemimpin zaman dahulu sebaliknya sebagai seorang mukmin seharusnya kita mendidik diri untuk menuntut ilmu sebanyak yang mungkin bagi menaikkan semula martabat islam yang telah dicalari dengan kerosakkan akhidah umat islam yang jahil dan tidak berilmu.

 Jika selama ini kita menuntut ilmu, apakah ilmu yang kita pelajari itu adalah ikhlas untuk islam yang tercinta? Renungan bersama 

No comments:

Post a Comment