ANDAI BESOK HARI TERAKHIRKU......




Musibah Tsunami yang berskala 8.9 richter yang menghentam bandaraya di negara matahari terbit seakan melanda pula kepada ahli keluarga adik Naqiah bt Mahadzir yang baru sahaja meninggal dunia pagi semalam.

Sebelum ini mangsa dirawat di hospital besar Alor Setar dan bertarung dengan nyawanya sendiri  kerana terpaksa menggunakan bantuan mesin untuk terus hidup namun takdir Allah telah menentukan segala-segalanya. Insan yang cukup istimewa itu telah meninggalkan seluruh warga kolej Universiti Insaniah dengan kisah akhir perjalananya sebagai seorang penuntut ilmu.

Sudah pasti insan yang paling tersentuh dengan pemergian insan ini ialah seluruh ahli keluaganya serta sahabat-sahabat yang mengenali insan ini. Pemergiannya di usia muda adalah bukti bahawa "status" umur bukan penghalang untuk manusia menuju buat selama-lamanya kepada penciptanya.

Sewaktu menziarahi arwah untuk memberi penghormatan terakhir pada petang semalam suasana hening dan suram menyambut setiap langkah tetamu yang hadir. Apa tidaknya keramaian tetamu yang hadir menziarah arwah menunjukkan arwah begitu disenangi dan disayangi oleh setiap insan sepanjang hayatnya.

Pemergian arwah selaku sahabat dan saudara bersama  juga adalah petanda Allah begitu cintakan kita semua. Takdir perjalanan setiap manusia sudah diatur dengan sempurna oleh sang pencipta. Sudah pasti Allah ingin mengingatkan kita supaya lebih bersedia menghadapi kematian kerana ia merupakan fasa sebenar kita menuju dunia yang tiada akhirnya iaitu hari akhirat.

Jika hari ini kita masih mampu bernyawa mungkin besok belum tentu untuk kita.  Satu perkara yang sering dilupai ialah ungkapan “ maaf” yang sukar dilafazkan dek angkara perasaan malu, ego dan amarah. Kehidupan seharian manusia tidak pernah terlepas dari melakukan kesalahan biarpun mungkin kesalahan itu hanya lawak jenaka yang sebenarnya telah mengguris perasaan insan lain tanpa disedari.

Tugas yang diamanahkan kepada kita  sebagai mahasiswa juga mungkin telah kita calari dengan tidak menghadirkan diri ke kuliyyah dengan sengaja, mengutuk pensyarah yang dirasakan benci atau melanggar amanah yang lain  merupakan tindakkan yang membunuh harapan ibu bapa secara halus. Secara tidak langsung juga kita telah mengundang kemurkaan Allah kerana tindakkan seumpama tadi memerlukan “kemaafan” segera dari insan yang telah kita lukai.

Oleh itu, janganlah disimpan lafaz yang bermakna itu gara-gara malu dengan luahan yang ingin diungkapkan. Tiada siapa yang tahu ungkapan “ tolong maafkan saya” boleh memberikan seribu makna kepada si penerima.

Janganlah malu untuk mengubah dunia dengan ungkapan bermakna tersebut. Percayalah ungkapan berharga itu sememangnya adalah pengubat duka dan lara buat insan yang terasa dengan tindakkan  yang mungkin dilakukan dengan sengaja atau tidak.

Ia juga mampu menyelamatkan kita dari azab api neraka di akhirat kelak kerana sekurang-kurangnya sebelum nyawa diseru di penghujungnya kita masih sempat untuk memohon kemaafan buat mereka. Andai besok adalah yang terakhir buatku “ tolong maafkan daku” andai selama ini aku banyak menyusahkan kalian semua" tolong maafkan aku". Andai besok hari terakhirku " sedekahlah seiklas doa buatku di sana.

No comments:

Post a Comment