LUAHAN DARI....................

Ibarat hati dikoyak-koyak oleh mata pisau yang tajam begitulah diibaratkan buat jiwa yang putus harapan kepada penciptanya. Hati yang selama ini lalai dan leka dengan kehidupan yang mengasyikkan tidak akan dapat lari dengan siksaan jiwa yang merantai hidup seseorang.

Zaman hari ini  manusia semakin ego, berani dan megah bila melakukan perkara maksiat yang dilarang Allah. Mereka semakin bangga dengan pekerjaan maksiat yang dilakukan biarpun azab-azab yang dijanjikan Allah dalam al-quran berulang kali diingatkan.

Hari ini, aku tidak lagi melihat seorang ayah membimbing tangan si anak kecil ke masjid, si anak tidak lagi diajar satu persatu kalimah suci al-quran oleh ibunya, tetapi apa yang aku lihat anak-anak kecil yang sedang meniti kehidupan sebagai seorang insan hanya dididik dan disuap dengan makanan maksiat .

Generasi yang dilahirkan pada hari ini bukanlah mereka yang patuh dan taat kepada perintah Allah dan Rasulnya,  tetapi mereka hanya patuh dengan bisikan-bisikan hiburan yang melekakan, generasi hari ini tidak lagi mengenali apakah nama kitab panduan umat islam sebaliknya mereka hanya mengenali kitab bible yang menjadi ikutan dan sanjungan musuh islam.

Pernah suatu hari , aku dilukakan oleh mereka yang selama ini adalah teman yang setia menemani hidupku. Lahirnya mereka disisiku bagaikan membawa satu rahmat besar kerana sudah lama aku menantikan kehadiran setiap insan yang mahu membawa sisa -sisa perjuangan yang diamanahkan oleh rasul akhir zaman iaitu baginda rasulullah S.A.W. Tetapi sayang mereka yang selama ini aku anggap sebagai teman setia, sahabat dan keluarga sendiri hanyalah mempergunakan aku sebagai alat kepentingan mereka .

Adakalanya, manusia lupa bahawa hidup mereka tidak lebih sekadar makluk yang lemah dan hina. Kehadiran mereka diatas muka bumi ini bukanlah tempat yang sesuai untuk mereka mencari keseronokkan semata-mata kerana Allah sudah mencipta syurga sebagai pengganti kepada kehidupan dunia yang melalaikan ini.

Mungkin sudah menjadi takdir buatku  yang hanya mampu untuk melihat kejahatan yang dikerjakan oleh manusia. Aku sedar aku bukanlah makhluk yang layak untuk menasihati mereka yang angkuh dan ego dengan perintah penciptanya, tetapi aku masih menyimpan sejuta harapan untuk manusia yang selama ini aku sayang dan anggap sebagai darah dagingku sendiri supaya menunaikan sebuah impian. Sebelum aku dipanggil menghadap penciptaku dan dijadikan saksi atas maksiat yang manusia lakukan aku harap setiap insan yang meniti kehidupan di atasku ini berubah dan mencari erti kehidupan yang sebenar. Aku hanyalah DUNIA iaitu tempat yang Allah ciptakan kepadamu untuk beribadah, mencari nafkah dan tempat singgahsana sebelum berhijrah ke dunia akhirat. Ikhlas luahan dariku makhluk Allah yang bernama Dunia..



1 comment: